Magis, hebat dan menakjubkan, itulah kata janji yang diberikan oleh Syafinaz Selamat, Pengarah Vokal dan Pengarah Persembahan konsert Koir terbesar, ‘No Wrong Notes’ (NWN) yang bakal berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL), Jalan Raja Laut pada 25 dan 26 November ini.
Konsert NWN Koir Kebangsaan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPK) bersama-sama dengan Kementerian Pelancongan Malaysia ini merupakan gabungan persembahan daripada Koir Kebangsaan dan Koir Remaja Kebangsaan Malaysia yang menghimpunkan elemen Jazz, Latin dan Raggae.
Menurut Syafinaz, sigifikannya pemilihan elemen Jazz, Latin dan Raggae diterapkan dalam konsert ini adalah untuk menarik minat semua golongan terutamanya golongan muda agar mengetahui bahawa koir adalah sesuatu yang sangat menarik dan pada masa yang sama boleh berentak upbeat, catchy, dance dan fast di mana, elemen muzik seumpama itu agak sinonim dengan golongan muda.
Selain itu ia turut memberi pendedahan kepada golongan muda kepada genre muzik Jazz yang sering dilabel sebagai muzik golongan elite dan dewasa.
“Gabungan kedua genre (jazz dan latin) di dalam satu konsert merupakan julung-julung kali dilakukan oleh Koir Kebangsaan. Oleh itu, penonton yang hadir dapat menikmati muzik jazz dan latin yang berterusan selama satu jam setengah. Tiada gimik ekstravaganza tapi saya berharap ianya bakal menjadi sebuah konsert mega ekstravaganza dari segi kualiti persembahan vokal,” ujar Syafinaz ketika ditemui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN), baru-baru ini.
Konsert NWN ini, merupakan instalasi dan produk terbaru Koir Kebangsaan selepas Konsert Music Makers, Cintakan Kedamaian dan banyak lagi.
Sebanyak 18 buah lagu dipilih dan digubah kepada elemen jazz, latin dan raggae , iaitu Gema Rembulan, Asmara, Sambaria, Tergeleng-geleng, Dan Sebenarnya, Dayung Sampan, The Pink Panther, Nature Boy, Kiss From A Rose, Bim Bom, I’m Gonna Live Till I Die, Waltzing Matilda, Someone To Watch Over Me, La Cucaracha, Besame Mucho, Fugue In C Minor, The Quiero dan Senyum.
Selain pemilihan lagu-lagu berunsurkan jazz, beberapa buah lagu juga telah digubah kepada muzik Jazz seperti lagu hits nyanyian Yuna, ‘Dan Sebenarnya’ serta lagu rakyat, ‘Dayang Sampan’.
Untuk injeksi elemen Latin pula, Syafinaz mengakui terdapat improvisasi bersesuaian dalam himpunan seleksi lagu pada malam itu agar lebih ‘terjalin’ ketika dinyanyikan dalam bentuk berkumpulan.
“Terdapat juga 2 kumpulan kecil yang digelar kumpulan ‘Consort’ dimana bentuk nyanyian lebih mendorong kepada stail nyanyian ensemble. Di samping itu kumpulan ini juga akan di iringi oleh band namun lebih bersifat akustik,” katanya.
Membabitkan seramai 55 peserta, konsert ini terbahagi kepada tiga sesi dan diadakan dengan menggunakan muzik iringan secara langsung (Live Band) .
Sesi pertama membabitkan persembahan Koir Kebangsaan Malaysia. Manakala sesi kedua berkemungkinan besar menampilkan artis undangan seperti Salamiah Hassan, si cilik berbakat besar yang berusia 7 tahun, Nabil (Koir Permata Seni) dan Solo Drum. Diikuti, sesi ketiga menyaksikan kehebatan persembahan Koir Kebangsaan Malaysia.
Konsert No Wrong Notes ini dipimpin oleh Mohd Amri Mohd Zin (Amri Zane) selaku konduktor sementara Tunku Marina Tunku Dato’ Zubir sebagai Pengarah Koir.
OHBULAN!: Bagaimanalah agaknya rupa lagu Yuna,’Dan Sebenarnya’ itu di-Latin, Raggae dan Jazz-kan dan dinyanyikan secara Koir oleh 55 peserta? Seriously, ini sesuatu yang menarik! Jadi marilah beramai-ramai datang menyaksikan konsert NWN pada hari Jumaat dan Sabtu ini bermula jam 8.30 malam. Bayaran masuk hanya dikenakan sebanyak RM10 sahaja. Untuk keterangan lanjut, Hubungi 014-2318303 atau 03-20523600 untuk pembelian tiket.
Link to full article
Không có nhận xét nào:
Đăng nhận xét